Faiz Fadzil |
Thursday, 16 February 2017
TN50 TIDAK TERCAPAI JIKA TIADA TANSFORMASI PENTADBIRAN
Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diumumkan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai hala tuju negara 30 tahun mendatang
hanyalah gimik politik menjelang pilihan raya umum ke-14, kata timbalan ketua
Pemuda Amanah Nasional Faiz Fadzil .
Beliau berkata, setelah hampir 60 tahun negara merdeka,
seharusnya Malaysia berdiri sama tinggi dengan Singapura, namun
halatuju-halatuju negara yang digagaskan sebelum ini seperti DEB dan Wawasan
2020 didakwa gagal kerana dasar dan polisi yang dirangka dicemari dengan
korupsi dan penyelewengan.
Katanya, TN50 juga akan menemui kegagalan jika intipati
utama sesuatu kejayaan iaitu integriti tidak dijadikan asas reformasi dan
transformasi sepertimana ungkapan R. Buckminster Fuller.
"TN50 tidak akan tercapai jika sistem dan pentadbiran
negara hari ini tidak mengalami proses transformasi dan pemulihan secara total
dan jujur.
"'Institutional Reform' yang melibatkan insititusi
undang-undang, Parlimen dan GLC adalah langkah awal ke arah transformasi
negara," ujarnya.
Justeru beliau berpandangan gagasan Selamatkan Malaysia
(SM17) melalui pembentukan kerajaan baru adalah gagasan yang paling relevan dan
paling utama untuk diperjuangkan oleh rakyat terutama generasi muda dengan
menjadikan prinsip integriti sebagai teras transformasi.
"Pru ke-14 adalah medan paling berkesan untuk
Selamatkan Malaysia agar transformasi yang menitikberatkan 3 'pillars' utama
iaitu mementingkan kebajikan rakyat, memperkasakan keadilan dan kebebasan serta
memupuk nilai murni dan kebaikan dapat dilaksanakan.
"Pembinaan negara Malaysia tercinta ini yang maju dan
makmur hendaklah diperjuang dan digalas bersama dan dikongsi serta dinikmati
bersama oleh setiap rakyat melangkaui sempadan bangsa dan agama, ideologi
politik, jantina dan latar belakang pendidikan." ujarnya.
Faiz berkata pentadbiran negara bukan sahaja dijerut dengan
pelbagai skandal korupsi dan penyelewengan seperti 1MDB, Felda, Mara dan Tabung
Haji, tetapi kedaulatan negara juga berada dalam keadaan tidak menentu dan
'jeorpardy' apabila hutang negara sudah mencecah RM800 bilion.
"Negara kini terpaksa pula berhutang dengan negara
China yang sudah terbukti cuba melebarkan kekuasaannya melalui konsep 'one belt
one road'. Sepertimana ungkapan Presiden kedua Amerika Syarikat John Adams
bahawa penjajahan boleh berlaku melalui dua cara, iaitu pedang dan
hutang," ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, jurang ekonomi rakyat yang semakin melebar
dengan beban hutang isi rumah yang tinggi serta kehidupan rakyat yang semakin
susah akibat bebanan cukai GST serta kenaikan kos sara hidup ujarnya lagi boleh
membawa negara ke arah negara gagal (failed state).
"Keadaan negara hari ini memerlukan 'antidote' dan
bukannya 'pain killer'.
"Generasi muda paling terkesan dan bagaimana generasi
muda akan menikmati transformasi yang diwarwarkan jika mereka mewarisi hutang,
korupsi dan kehancuran sebuah negara yang merdeka," ujarnya.
Sebagai rekod TN50, adalah satu inisiatif pembangunan negara
yang merangkumi tahun 2020 hingga 2050. Inisiatif ini akan dipacu oleh matlamat
dan sasaran yang jelas selama 30 tahun, yang akan dibangunkan melalui proses
perundingan dalam fasa persediaan dari tahun 2017 hingga 2019.
Matlamat dan sasaran yang digariskan dalam dokumen dasar
TN50 bakal diterbitkan pada awal tahun 2020.
- malaysiadateline
Thursday, 2 February 2017
PPBM-PAS : AMANAH TAK PERLU TUNGGU, SIAPKAN JENTERA SEGERA
Aminuddin Zulkipli |
Tanjung Malim – Parti Amanah Negara (AMANAH) di peringkat
akar umbi dinasihatkan supaya terus bekerja dengan mempersiapkan jentera
pilihan raya meskipun perbincangan PPBM dan PAS sedang berjalan.
Maklum balas itu disampaikan kepada seluruh ahli Amanah
Tanjung Malim oleh Pengerusi Amanah Tanjung Malim, Tuan Hj Aminuddin Zulkipli dalam
program pembugaran Pelan Strategik Amanah Tanjung Malim di sini semalam.
Dalam kenyataannya, beliau mengingatkan Jawatankuasa
AMANAH Tanjung Malim supaya perancangan dan program yang menjurus kepada
memperkemas jentera di setiap cawangan dan pusat mengundi seharusnya terus
dirancakkan bagi berdepan dengan apa sahaja kemungkinan yang berlaku.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang
Amanah Negeri Perak percaya rundingan PPBM dan PAS semestinya memakan masa yang
panjang dan penantian kepada keputusan akhir akan menyebabkan Pakatan Harapan akan
kesuntukan masa dalam persiapan untuk berdepan dengan Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.
“Setiap perancangan dan program yang telah disusun
terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya harus diteruskan malah
perlu dirancakkan meskipun perkembangan terbaru berkaitan perbincangan antara
PPBM dan PAS sedang berjalan.
“Adalah menjadi satu kesilapan bagi kita sebagai
penggerak di akar umbi menanti sesuatu yang tidak pasti lalu kita berhenti atau
memperlahankan tindakan sedangkan kita tahu pilihan raya sudah semakin hampir”,
ulasnya.
Mengulas tentang kemungkinan PPBM dapat memujuk PAS untuk
bersama dalam pakatan besar pembangkang, beliau berkata tidak ada satu signal
yang betul-betul jelas perkara ini dapat direalisasikan melainkan masa yang sudah
ditetapkan untuk memuktamadkan keputusan sekali lagi diheret.
Dalam pada itu beliau menasihatkan agar semua pemimpin di
akar umbi agar mengambil tindakan yang proaktif supaya strategi dan gerak
kerja dapat diteruskan.
Semalam media melaporkan satu persefahaman bersama telah
dicapai antara PPBM dan Pas bagi memperhalusi rangka kerjasama antara parti terbabit
dengan membentuk Jawatankuasa Teknikal Bersama PAS-PPBM untuk mengambil
tindakan susulan atas keputusan-keputusan yang dipersetujui oleh kedua-dua
parti.
Wednesday, 25 January 2017
AMINUDDIN : LIMAU UNTUK PERPADUAN
Slim Village, 24 Jan – Program turun ke lapangan dan
berjumpa rakyat dengan pemberian buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina
tidak dilihat sekadar aktiviti biasa malah perlu lebih dari itu.
Kenyataan itu disampaikan Pengerusi Amanah Tanjung Malim,
Tn Hj Aminuddin Zulkipli kepada semua petugas parti yang menyertai program
tersebut semalam.
Menyasarkan penduduk sekitar Slim Village dalam Dewan
Undangan Negeri (DUN) Behrang, Aminuddin mengingatkan agar di sebalik pemberian
buah limau kepada penduduk, Amanah juga ingin mempamerkan sikap keterbukaan dan
akhlak sebagai seorang Muslim.
“Kita mahu masyarakat memahami sikap kita dalam
mempraktikkan akhlak sebagai seorang Muslim yang bukan sekadar mengungkapkan
kata-kata tetapi mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
“Buah limau memang sinonim dengan sambutan Tahun Baru
Cina, tetapi buah ‘perpaduan’ itu adalah matlamat sebenar yang ingin kita sampaikan di sebalik apa yang kita
lakukan pada hari ini”, katanya.
Dalam aktiviti semalam, Amanah Tanjung Malim berjaya
bertemu lebih 100 orang penduduk di sini yang rata-ratanya adalah berbangsa
cina dengan disertai petugas parti dari
sayap Pemuda dan Arif.
Mengulas berkaitan maklum balas orang ramai terhadap
Amanah dengan aktiviti tersebut, Khairol Najib Hashim berkata masyarakat di
sini kebayakannya sudah mengenali Amanah dan positif dengan kehadiran Amanah di
sini.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH
Tanjung Malim mendakwa hampir kesemua penduduk yang ditemui menyampaikan hasrat
agar Pakatan Harapan dapat merampas semula kerusi DUN di sini.
“Alhamdulillah, kita tidak asing bagi masyarakat di sini
dan mereka gembira dapat bertemu dengan kita untuk menyuarakan sokongan mereka
kepada Amanah dan Pakatan Harapan.
“Rata-rata masyarakat cina di sini mengikuti perkembangan
semasa politik tanah air dan ada di antara mereka menaruh harapan besar agar
Pakatan Harapan dapat merampas kembali DUN ini daripada BN”, ulasnya.
Program yang bermula di Slim Village itu dijadual akan
diteruskan di beberapa kawasan lain antaranya di Pekan Slim River pada Khamis
ini.
Tuesday, 24 January 2017
PEMUDA TEKAD BAWA MESEJ AMANAH KEPADA PENGUNDI
Trolak – Kedudukan Parti Amanah Negara (Amanah) Tanjung
Malim masih perlu diperkasa dan mesej-mesej parti masih belum benar-benar mengakar di kalangan pengundi
tempatan.
Realiti ini diakui barisan kepimpinan Pemuda Amanah Tanjung Malim dalam program Himpunan
Pemuda dan Penubuhan Arif Amanah Tanjung Malim semalam.
Bercakap di hadapan kira-kira 30 pemuda cawangan Trolak
Selatan semalam, Naib Ketuanya, Khairol Najib Hashim berkata, misi dan visi Amanah
mungkin difahami oleh pengundi-pengundi di bandar, tetapi di kampung-kampung,
kawasan luar bandar seperti sekitar parlimen Tanjung Malim ini, gerak kerja
perlu dipergiat.
Beliau juga berpendapat, satu Jawatankuasa Khas perlu
dibentuk untuk menyusun program dan perancangan rapi di kalangan pemuda untuk
menembusi setiap kampung dan perumahan di sini bagi membawa mesej Amanah supaya
pengundi mendapat maklumat yang betul.
“Kita perlukan perancangan yang bersepadu untuk tembusi
kawasan-kawasan kampung di sini, kerana kebanyakan pengundi luar bandar
mendapat maklumat yang tidak betul daripada musuh-musuh politik kita.
“Jadi pemuda bertekad untuk memperbetulkan persepsi yang
salah terhadap Amanah dan tugas ini perlu dipikul Pemuda sebagai agen parti
yang berkeupayaan untuk melaksanakan tugas tersebut di samping memainkan
peranan dalam menangkis tohmahan di media sosial”, ujarnya.
Amanah Tanjung Malim yang kini dalam proses penambahan cawangan di seluruh kawasan Tanjung Malim kini mempunyai 11 cawangan berdaftar.
Amanah Tanjung Malim yang kini dalam proses penambahan cawangan di seluruh kawasan Tanjung Malim kini mempunyai 11 cawangan berdaftar.
PAK YA DILANTIK KETUAI ARIF TG MALIM
Trolak – Saudara Mohd Yahaya bin Hasan atau lebih
dikenali sebagai Pak Ya di kalangan rakan-rakannya di sini secara rasmi
dilantik sebagai Ketua ARIF Amanah Tanjung Malim dalam mesyuarat penubuhannya
semalam di Felda Trolak Selatan.
Beliau yang merupakan ahli Amanah Tanjung Malim terawal
bergerak bersama ARIF sebulat suara dipersetujui semua ahli yang hadir setelah
melihat komitmen beliau dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan yang dianjur
Amanah.
Mengulas pelantikan tersebut, Pengerusi Amanah Tanjung
Malim, Aminuddin Zulkipli menyifatkan pelantikaannya bertepatan dengan budaya
kerja yang diamalkan Pak Ya.
“Pak Ya seorang yang tidak banyak bercakap, tapi semua
kerja yang diamanahkan akan dilaksanakan dengan baik. Ciri itu sangat disenangi
sesiapa sahaja yang berurusan dengan beliau”, katanya.
“Saya berharap ARIF di bawah kepimpinannya akan dapat
menggerakkan ahli-ahlinya untuk menjadi tulang belakang parti dalam
kerja-kerja kebajikan dan kebanyakan program-program parti memerlukan ARIF”,
tambahnya lagi.
Seramai 20 ahli baru ARIF mendaftarkan diri dan Jawatankuasa
ARIF Tanjung Malim berjaya dibentuk dalam mesyuarat penubuhan ARIF yang
diadakan di kediaman Haji Nawi di Trolak Selatan semalam.
Wednesday, 18 January 2017
FOKUS PENGUNDI ATAS PAGAR, KERJA 3 PENJURU
Slim River – Perbincangan sama ada pertandingan dua, tiga atau lebih
parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang seharusnya tidak menjadi
penghalang kepada gerak kerja akar umbi dan jentera di bawah.
Pandangan itu disampaikan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah)
Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli dalam ucapannya semasa Bengkel Pengurusan
Organisasi di Slim River baru-baru ini.
Aminuddin Zulkipli |
Beliau juga menyeru semua penyokong Pakatan Harapan khususnya Amanah agar
memberi fokus kepada usaha menarik seramai mungkin pengundi-pengundi atas pagar
yang peratusnya dikatakan meningkat
selepas ketidaktentuan berlaku di pihak Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.
“Pertikaian untuk menentukan pertandingan dua atau tiga penjuru harus
diserah kepada kepimpinan tertinggi dan di bawah kita harus bekerja dengan
anggapan akan berlaku pertandingan 3 penjuru yang mana sudah pasti strategi dan
kekuatan harus lebih padu untuk menguasai kerusi-kerusi yang bakal kita masuk”,
katanya di hadapan ahli jawatankuasa yang hadir.
Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan seorang peguam turut optimis
bahawa dengan bantuan anak muda yang lebih mesra dengan media baru, maklumat
lebih mudah disampaikan lebih-lebih lagi kumpulan ini merupakan bilangan
teramai yang akan mengundi pada PRU akan datang.
“Kita harus bekerja secara berpasukan dengan memberi fokus kepada program
di kawasan dan menyampaikan maklumat kepada pengundi yang lebih selesa dengan
penggunaan media sosial supaya semua segmen pengundi dapat kita sentuh dan
terdorong untuk memberi sokongan kepada kita”, ujarnya yang juga merupakan
bekas calon DUN Slim pada PRU lepas.
“Pengundi atas pagar sentiasa menilai, melihat perkembangan yang berlaku
dan kita harus menunjukkan kesungguhan serta memberi keyakinan bahawa kita
mampu mengambil alih peranan sebagai kerajaan sama ada di peringkat negeri
mahupun persekutuan”, tambahnya lagi.
Mengulas tentang komitmen Amanah untuk Parlimen Tanjung Malim, beliau dan
seluruh jawatankuasa akan menyusun program dan strategi kempen yang lebih
agresif terutamnya persiapan jentera untuk PRU akan datang.
“Kita sedang giat menyusun langkah dan strategi berdasarkan kepada maklum
balas dan dapatan kajian yang kita perolehi supaya program-program yang kita
laksanakan benar-benar memberi impak kepada pengundi di samping persiapan
jentera yang mantap menjelang PRU”, katanya.
Parlimen Tanjung Malim merupakan kerusi tradisi BN yang kini disandang
Dato’ Seri Ong Ka Chuan dan terdapat tiga Dewan Undangan Negeri dalam parlimen
ini iaitu Slim (BN), Behrang (BN) dan Sungkai (DAP).
NUNJI 2017 TAMPIL TOKOH ANTARABANGSA, TEMPATAN 5 FEBRUARI INI
KUALA LUMPUR: AMANAH Nasional akan menganjurkan
Nadwah Ulamak Nahdhah Jadidah atau singkatan NUNJI 2017 pada 5 Februari ini
dengan menampilkan tokoh ilmuwan Islam yang terkenal dengan pandangan progresif
tentang kerangka negara moden iaitu Dr Jasser Audah dari Kanada.
Demikian dimaklumkan oleh Pengerusi NUNJI 2017 yang juga
Naib Presiden AMANAH, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa dalam satu kenyataan kepada
Amanahdaily hari ini.
Program yang akan diadakan di Kompleks Belia Selangor,
Seksyen 7, Shah Alam bertema “Maqasid Syariah Teras Negara Bangsa” yang akan
melontarkan secara spesifik peranan maqasid untuk membina dasar dalam
pembentukan negara bangsa.
Menurut beliau, kali ini NUNJI membawa Dr Jasser Audah
dari Kanada dan tokoh ini akan melontarkan ide “Negara Madani dan Referensi
Islam Sebagai Prinsip”.
Turut ditampilkan katanya, ialah Presiden Darul Hikmah
dan Pengerusi IDE Selangor, Prof Dato’ Dr Sidiq Fadhil yang akan menyinggung
isu negara bangsa dan bagaimana peranan Maqasid Syariah membentuknya.
Ujar Dr Mujahid lagi, selain Dr Jasser, penganjur juga
menjemput ulamak muda Ustaz Wanji Wan Hussin dari Sekolah Pemikiran As-Syatibi
untuk mengupas satu tajuk tentang “Disiplin Maqasid Syariah”.
Sebagai melaksanakan salah satu resolusi NUNJI 2015 yang
lalu, NUNJI kali ini tegas beliau, turut melontarkan pengenalan awal kepada
Fiqh Siasi Malaysia yang akan dibentangkan oleh beliau sendiri.
Beliau berkata, aturcara menarik kali ini ialah
pelancaran prosiding NUNJI 2015 dan tiga buku kecil terbitan NUNJI bertajuk
‘Islam dan Demokrasi’, ‘Fiqh Muwothonah’ dan ‘Perlaksanaan Hudud dalam Bingkai
Fiqh Awlawiyat’ akan disempurnakan oleh Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Ahmad
Awang dan sekaligus merasmikan NUNJI 2017.
Untuk rekod, NUNJI telah dilancarkan pada tahun 2015 dan
ia merupakan platform untuk membekalkan kefahaman Islam dan kenegaraan
bersandarkan kepada Maqasid Syariah atau objektif besar Syariah.
Kejayaan NUNJI apabila ia dapat melontarkan ide-ide
baharu tentang peranan Islam dalam kerangka kepelbagaian dan mencadangkan
kepada orang ramai bagaimana keadilan, kebebasan dan kesaksamaan dapat
diterjemahkan dalam konteks politik Malaysia.
Mengulas lanjut, Dr Mujahid berkata, NUNJI akan terus
menjadi wahana mencerdas minda ahli AMANAH khususnya dan masyarakat umumnya
melalui penglibatan semua pihak dalam bidang kepakaran masing-masing.
“NUNJI juga terbuka untuk orang awam yang berminat,” ujar
beliau.
Program sehari itu akan disempurnakan majlis penutupnya
oleh Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.
Tuesday, 17 January 2017
HIMPUNAN PEMUDA & PENUBUHAN ARIF AMANAH TANJUNG MALIM
HIMPUNAN PEMUDA &
PENUBUHAN ARIF AMANAH TANJUNG MALIM
Pemuda Amanah Tanjung Malim
dengan penuh takzim menjemput semua untuk sama-sama hadir ke program Himpunan
Pemuda dan Penubuhan ARIF Amanah Tanjung Malim pada ketetapan berikut :
TARIKH : 20 JANUARI 2017
HARI : JUMAAT
MASA : 8.30 MALAM
TEMPAT : RUMAH HJ NAWI, TROLAK SELATAN
Kami amat berbesar hati
sekiranya anda berkelapangan untuk sama-sama hadir ke program ini bagi memperkenalkan Ahli Jawatankuasa dan memperkemaskan
organisasi sayap Pemuda dan ARIF Amanah Tanjung Malim.
Sebarang maklumat lanjut,
boleh hubungi saudara Khairol Najib (0134056247)
atau Pak Ya (0175396339)
Sekian.
Amanah::Progresif::Peduli
Pemuda Amanah Tanjung Malim
Monday, 16 January 2017
BENGKEL PENGURUSAN ORGANISASI AMANAH TG MALIM CAPAI OBJEKTIF
Slim River – Bengkel Pengurusan Organisasi parti manah
Negara (Amanah) Parlimen Tanjong Malim telah berjaya dilaksanakan dengan meletakkan
matlamat tawan Dun Behrang sebagai sasaran menjelang Pilihan Raya Umum ke 14.
Katanya lagi, kebanyakan ahli Amanah yang berada di
Tanjong Malim mempunyai kelebihan yang boleh dimanfaatkan untuk parti sekali
gus menjadi modal bagi mempersiapkan jentera PRU ke 14 nanti.
“Kita yakin dan pengalaman membuktikan, dengan gerak
kerja yang tersusun, tenaga yang ada dimanfaatkan sebaiknya, kita mampu tembusi
apa sahaja tembok yang menghalang untuk kita terus maju ke hadapan”, katanya
kepada semua AJK yang hadir dalam bengkel tersebut.
Bengkel yang dihadiri Ahli Jawatankuasa Amanah Tanjong Malim
itu turut diberi penerangan dan dibentangkan dengan perancangan jangka masa
panjang dan jangka masa pendek Amanah Tanjong Malim di samping membincangkan
perkara-perkara penting dalam memantapkan lagi organisasi.
Sunday, 15 January 2017
TAHNIAH KHAIROL NAJIB
Amanah Tanjong Malim mengucapkan sekalung tahniah kepada
saudara Khairol Najib bin Hashim dan isteri, Siti Farhana selepas selamat diijabkabul
pada 7 Januari lalu
Amanah Tanjong Malim juga mendoakan agar Khairol Najib
memperoleh barakah atas rumah tangga yang dibina dan menguatkan lagi semangat
beliau untuk terus berjuang bersama Amanah.
Barakallahulakuma!!
Salam Perjuangan
Amanah Tanjong Malim