Wednesday, 18 January 2017

FOKUS PENGUNDI ATAS PAGAR, KERJA 3 PENJURU

Slim River – Perbincangan sama ada pertandingan dua, tiga atau lebih parti dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang seharusnya tidak menjadi penghalang kepada gerak kerja akar umbi dan jentera di bawah.

Pandangan itu disampaikan oleh Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Tanjung Malim, Aminuddin Zulkipli dalam ucapannya semasa Bengkel Pengurusan Organisasi di Slim River baru-baru ini.

Aminuddin Zulkipli
Beliau juga menyeru semua penyokong Pakatan Harapan khususnya Amanah agar memberi fokus kepada usaha menarik seramai mungkin pengundi-pengundi atas pagar yang peratusnya dikatakan meningkat selepas ketidaktentuan berlaku di pihak Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

“Pertikaian untuk menentukan pertandingan dua atau tiga penjuru harus diserah kepada kepimpinan tertinggi dan di bawah kita harus bekerja dengan anggapan akan berlaku pertandingan 3 penjuru yang mana sudah pasti strategi dan kekuatan harus lebih padu untuk menguasai kerusi-kerusi yang bakal kita masuk”, katanya di hadapan ahli jawatankuasa yang hadir.

Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan seorang peguam turut optimis bahawa dengan bantuan anak muda yang lebih mesra dengan media baru, maklumat lebih mudah disampaikan lebih-lebih lagi kumpulan ini merupakan bilangan teramai yang akan mengundi pada PRU akan datang.

“Kita harus bekerja secara berpasukan dengan memberi fokus kepada program di kawasan dan menyampaikan maklumat kepada pengundi yang lebih selesa dengan penggunaan media sosial supaya semua segmen pengundi dapat kita sentuh dan terdorong untuk memberi sokongan kepada kita”, ujarnya yang juga merupakan bekas calon DUN Slim pada PRU lepas.

“Pengundi atas pagar sentiasa menilai, melihat perkembangan yang berlaku dan kita harus menunjukkan kesungguhan serta memberi keyakinan bahawa kita mampu mengambil alih peranan sebagai kerajaan sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan”, tambahnya lagi.

Mengulas tentang komitmen Amanah untuk Parlimen Tanjung Malim, beliau dan seluruh jawatankuasa akan menyusun program dan strategi kempen yang lebih agresif terutamnya persiapan jentera untuk PRU akan datang.

“Kita sedang giat menyusun langkah dan strategi berdasarkan kepada maklum balas dan dapatan kajian yang kita perolehi supaya program-program yang kita laksanakan benar-benar memberi impak kepada pengundi di samping persiapan jentera yang mantap menjelang PRU”, katanya.

Parlimen Tanjung Malim merupakan kerusi tradisi BN yang kini disandang Dato’ Seri Ong Ka Chuan dan terdapat tiga Dewan Undangan Negeri dalam parlimen ini iaitu Slim (BN), Behrang (BN) dan Sungkai (DAP).

0 comments:

Post a Comment