Slim Village, 24 Jan – Program turun ke lapangan dan
berjumpa rakyat dengan pemberian buah limau sempena sambutan Tahun Baru Cina
tidak dilihat sekadar aktiviti biasa malah perlu lebih dari itu.
Kenyataan itu disampaikan Pengerusi Amanah Tanjung Malim,
Tn Hj Aminuddin Zulkipli kepada semua petugas parti yang menyertai program
tersebut semalam.
Menyasarkan penduduk sekitar Slim Village dalam Dewan
Undangan Negeri (DUN) Behrang, Aminuddin mengingatkan agar di sebalik pemberian
buah limau kepada penduduk, Amanah juga ingin mempamerkan sikap keterbukaan dan
akhlak sebagai seorang Muslim.
“Kita mahu masyarakat memahami sikap kita dalam
mempraktikkan akhlak sebagai seorang Muslim yang bukan sekadar mengungkapkan
kata-kata tetapi mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.
“Buah limau memang sinonim dengan sambutan Tahun Baru
Cina, tetapi buah ‘perpaduan’ itu adalah matlamat sebenar yang ingin kita sampaikan di sebalik apa yang kita
lakukan pada hari ini”, katanya.
Dalam aktiviti semalam, Amanah Tanjung Malim berjaya
bertemu lebih 100 orang penduduk di sini yang rata-ratanya adalah berbangsa
cina dengan disertai petugas parti dari
sayap Pemuda dan Arif.
Mengulas berkaitan maklum balas orang ramai terhadap
Amanah dengan aktiviti tersebut, Khairol Najib Hashim berkata masyarakat di
sini kebayakannya sudah mengenali Amanah dan positif dengan kehadiran Amanah di
sini.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH
Tanjung Malim mendakwa hampir kesemua penduduk yang ditemui menyampaikan hasrat
agar Pakatan Harapan dapat merampas semula kerusi DUN di sini.
“Alhamdulillah, kita tidak asing bagi masyarakat di sini
dan mereka gembira dapat bertemu dengan kita untuk menyuarakan sokongan mereka
kepada Amanah dan Pakatan Harapan.
“Rata-rata masyarakat cina di sini mengikuti perkembangan
semasa politik tanah air dan ada di antara mereka menaruh harapan besar agar
Pakatan Harapan dapat merampas kembali DUN ini daripada BN”, ulasnya.
Program yang bermula di Slim Village itu dijadual akan
diteruskan di beberapa kawasan lain antaranya di Pekan Slim River pada Khamis
ini.
0 comments:
Post a Comment