Pemuda Amanah Perak mahu manifesto pilihan raya umum (PRU) khususnya PRU14 bersifat realistik dan memenuhi keperluan orang muda.
Naib ketuanya Khairol Najib Hashim berkata, bagi mencapai tujuan itu, anak muda daripada ketiga-tiga parti dalam Pakatan Harapan mesti dilibatkan dalam penyediaan manifesto PRU.
"Penyediaan manifesto pilihan raya mesti realistik dan 'kena' dengan orang muda. Oleh itu wajib libatkan rakan-rakan sayap muda ketiga-tiga parti dalam penyediaan manifesto nanti," katanya sewaktu berucap di Konvensyen Pakatan Harapan Perak di Ipoh hari ini.
Ini juga katanya, termasuk melibatkan sayap pemuda dan wanita dalam pembentukan kabinet bayangan kerajaan Pakatan Harapan Perak sebagai gagasan "Government In Waiting".
"Kita mesti mengarus perdanakan Kepimpinan Pakatan Harapan dalam pembentukan kabinet bayangan Kerajaan Pakatan Harapan Perak sebagai Gagasan Kerajaan Menunggu "Government In Waiting" dengan melibatkan sayap anak muda dan wanita di dalamnya," katanya lagi.
Beliau juga berkata, Amanah, PKR dan DAP mesti memberi ruang kepada anak muda untuk menjadi calon dalam PRU14 iaitu mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.
"Pemuda Amanah mahu penampilan calon anak muda dalam PRU akan datang dengan 60% calon daripada kalangan anak muda berumur 40 tahun dan ke bawah," katanya yang juga pengarah komunikasi Pemuda Amanah Nasional.
Selain itu, Pakatan Harapan diingatkan agar melaksanakan perlawanan satu lawan satu dalam PRU14 dengan pembangkang yang solid dan meneruskan sistem dwi parti.
Menurutnya, pintu rundingan perlu sentiasa dibuka bagi memastikan Pakatan Harapan melawan BN.
Menyentuh mengenai pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pula, Najib berkata tiada istilah status quo dalam pembahagian kerusi pilihan raya sebaliknya ia mesti dilakukan mengikut situasi semasa.
Konvensyen Pakatan Harapan Perak hari ini dihadiri pimpinan utama ketiga-tiga parti dan kira-kira 1,000 perwakilan daripada Amanah, PKR dan DAP.
-malaysiadateline
0 comments:
Post a Comment