Monday, 16 May 2016
SELAMAT HARI GURU
AMANAH Tanjong Malim mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga
Pendidik yang telah banyak menyumbang jasa dalam mendidik anak bangsa. Sesungguhya
pengorbanan para pendidik tidak mampu dibalas dan hanya Allah dapat
membalasnya.
Terima Kasih Cikgu.
IKHLAS
AMANAH TANJONG MALIM
Wednesday, 11 May 2016
AMANAH MAHU BERTANDING DI KUALA KANGSAR
Mohamad Nizar Jamaluddin |
Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding pada PRK
Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR
dan DAP kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau yang juga Timbalan
Pengerusi Amanah Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan
bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh Pas dicapai
menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran
dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak.
"Kalau ikut prinsip asal
semasa mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, mana-mana kerusi yang ditandingi
Pas, oleh kerana Amanah menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang Pas
bertanding, automatik Amanah akan ambil tempat itu bertanding mewakili Pakatan
Harapan," katanya kepada sebuah portal berita.
Kerusi parlimen Kuala Kangsar
adakah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan
Nasional (BN) dan Pas.
Namun dengan kemunculan
Amanah, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih
di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit.
Ini kerana PKR mempunyai
kerjasama politik dengan Amanah menerusi Pakatan Harapan dan pada masa sama
masih menjalin permuafakatan dengan Pas.
Meskipun tewas di semua 13
kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini,
Amanah meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu
mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain.
Namun parti itu memerlukan
sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada BN.
"(Kami) memang kuat di
Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan
Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak Pas, itu berdasarkan pengalaman saya
di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar.
Bagaimanapun Nizar yang juga
Adun Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan
tertinggi Pakatan Harapan pada 15 Mei ini.
"Kena buat keputusan dulu
sama ada yang mewakili Pakatan Harapan itu siapa dia. Kalau Pakatan Harapan
setuju Amanah yang akan mewakili Pakatan Harapan, maka Amanah akan masuk
bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar
kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan
Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei
lalu.
Selain Wan Mohammad Khair-il,
turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk
Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan
Sungai Besar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13
lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam
pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas.
Calon Pas, Khalil Idham Lim
Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim
memperoleh 447 undi.
BN juga mengekalkan kerusi
parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperoleh majoriti 399 undi, menewaskan
calon Pas Mohammed Salleh M Husin.
- malaysiadateline
Tuesday, 10 May 2016
AMANAH MAHU BERTANDING DI SG BESAR, KUALA KANGSAR
PETALING JAYA : Parti Amanah Negara (AMANAH) sewajarnya
mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding di dalam Pilihan Raya Kecil
(PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Demikian kata Pengerusinya
Izham Hashim yang berpendapat secara prinsipnya parti itu telah menggantikan
tempat PAS dalam PH.
“Oleh kerana AMANAH
menggantikan PAS dalam PH maka sewajarnya kami yang bertanding di PRK Sungai
Besar dan Kuala Kangsar.
Foto - fmt |
“Kita ada ramai calon yang
berkelayakan dan perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat AMANAH Nasional
pada 15 Mei nanti,” katanya kepada FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika parti itu akan meletakkan calon
untuk bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Kerusi Parlimen Sungai Besar
kosong selepas wakil rakyat terbabit, merangkap Timbalan Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter
di Sarawak, Khamis lalu.
Tragedi itu turut meragut
nyawa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad;
suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi, Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah,
Konstabel Ahmad Sobri Harun.
Sementara itu, Izham turut
diminta mengulas kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali baru-baru ini yang menyarankan PAS kembali bersama DAP dan
PKR sebagai sebuah pasukan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
nanti
“Mana-mana pimmpinan daripada
komponen parti dalam PH bebas menjemput sesiapa atau mana-mana parti menyertai
PH. Namun, kaedah penerimaan mestilah mengikut tatacara yang terkandung dalam
perjanjian PH yang ditandatangani baru-baru ini.
“PH percaya pembangkang perlu
bersatu di bawah satu platform bagi menghadapi BN.
“Walau bagaimanapun
parti-parti berkenaan perlulah jujur dan bersedia mematuhi segala peraturan
berhubung dengan perjalanan PH. Juga mereka perlu dipersetujui keahlian oleh
ketiga-tiga parti komponen PH sedia ada,” tegasnya.
- freemalaysiatoday
NAJIB KINI TERPAKSA BERGANTUNG KEPADA KERAJAAN NEGERI UNTUK BERKUASA, KATA DR MAHATHIR
Foto - theantdaily |
Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak kini berdepan tekanan lebih besar kerana terpaksa bergantung kepada
kerajaan negeri untuk kekal berkuasa, kata bekas perdana menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad selepas kemenangan Barisan Nasional di Sarawak baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata kemenangan BN
di Sarawak hanya bersifat sementara malah Najib akan terpaksa bergantujg kepada
sesebuah kerajaan negeri selepas ini bagi memastikan mereka terus menjadi parti
pemerintah.
“Kemenangan ini hanya bersifat
sementara, memang kerajaan negeri menang tetapi tidak pada Kerajaan Pusat.
“Ini
kerana ia bergantung kepada kerajaan negeri. Kerajaan Pusat kena penuhi
permintaan kerajaan negeri kerana mereka bergantung kepada Kerajaan Pusat. Ini
akan memberi lebih tekanan kepada Najib,” kata Dr Mahathir dipetik dalam akhbar
Sinar Harian semasa berucap dalam sebuah program di Pulau Pinang.
Malah keadaan ini menurut Dr
Mahathir tidak baik untuk pembentukan sebuah negara apabila rakyat Malaysia
kini masing-masing sudah lupa mereka sebenarnya adalah warganegara dan bukan
bergantung kepada kenegerian semata-mata.
“Sekarang ini Johor bercakap
tentang Johorian, Sarawak jadi Sarawakian. Kita lupa kita adalah Malaysia dan
kini sudah terhakis konsep satu negara kerana masing-masing bawa diri sendiri,”
kata beliau.
Dr Mahathir merujuk kepada
slogan “Bangsa Johor” kebelakangan ini yang bermula dari selatan tanahair dan
juga kempen dengan slogan “Sarawak for Sarawakian”.
Kerajaan BN mendapat mandat
besar selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei lalu apabila berjaya
memenangi 72 kerusin Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82.
-themalaysianmirror
-themalaysianmirror
SPR MESYUARAT 2 PILIHAN RAYA KECIL JUMAAT INI
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini
menerima maklum kekosongan kerusi bagi kawasan Parlimen Kuala Kangsar dan
Sungai Besar.
Makluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
"Mesyuarat khas bincang pilihan raya kecil Parlimen
Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan pada 13 Mei," menurut SPR dalam
satu kenyataan.
Kerusi
Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong berikutan kematian
penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dan Datuk Noriah
Kasnon.
Allahyarham Wan Mohammad Khair-il Anuar dan Allahyarhamah
Noriah meninggal dunia dalam satu insiden nahas helikopter di Sarawak, Khamis
lalu.
- sinarharian
AMANAH BUAT KEPUTUSAN BERTANDING SELEPAS 15 MEI
Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya akan membuat keputusan
pada 15 Mei ini sama ada akan bertanding pada dua pilihan raya kecil (PRK) akan
datang, kata presidennya Mohamad Sabu.
“Kita akan bincangkan perkara
(bertanding dalam dua PRK) pada 15 Mei depan,” kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini.
Malah, ketika diminta mengulas
tindakan PAS terlebih dulu mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen
Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Mohamad berkata beliau masih menunggu keputusan
rasmi mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.
“Kita masih lagi menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan,
kerajaan pun tak umum kekosongan jadi kita pun tak bincang langsung mengenainya
tapi apa pun kita akan berbincang pada 15 Mei ini,” katanya yang juga mesra
dengan panggilan Mat Sabu.
Portal rasmi PAS, Harakahdaily, memetik
ketua pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Mustafa Ali, semalam mengumumkan
PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.
Katanya, pada pilihan raya umum
lalu calon PAS hanya kalah tipis 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala
Kangsar pula majoriti calon BN hanya kira-kira 1,000 undi.
Kedua-dua kerusi itu kosong
berikutan nahas udara Khamis lalu yang mengorbankan enam orang di sungai Batang
Lupar, Sarawak.
Mereka yang terbunuh itu
termasuk, ahli parlimen Sungai Besar yang juga adalah Timbalan Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen
Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar. Wan Ahmad.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi
ini berkata HARAPAN akan membincangkan sama ada mana-mana parti sekutunya akan
bertanding pada dua pilihan raya kecil itu.
Pada pilihan raya Sarawak
kelmarin, PAS bertembung dengan parti serpihannya yang kini menganggota Pakatan
Harapan. Kedua-dua parti itu gagal mendapat sebarang kerusi.
Azmin, sebelum ini turut mempelawa PAS kembali dalam satu
pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan kekalahan
teruk pembangkang semasa pilihan raya Sarawak.
Kedua-dua kerusi di Sungai
Besar dan Kuala Kangsar adalah kawasan campuran dengan majoriti Melayu yang
secara tradisinya ditandingi oleh PAS tetapi kini diintai pula oleh AMANAH.
- malaysiakini
ADUN KUBANG ROTAN TUMPU SELAMATKAN MALAYSIA, KETEPI SOAL PARTI DAHULU
Mohd Nasir Mustafa, ADUN Kubang Rotan |
Tanpa
mengesahkan mahupun menafikan khabar angin mengenai kemasukannya ke dalam
Amanah, Adun Kubang Rotan, Kedah Mohd Nasir Mustafa memberitahu, fokus beliau
pada masa ini adalah pada gerakan Selamatkan Malaysia.
“Nantilah dulu. Saya buat masa ini belum
lagi bersedia untuk bercakap banyak soal parti. Banyak lagi kerja perlu kita
lakukan dan tumpuan saya sekarang ialah dalam Selamatkan Malaysia,” jawabnya
ketika dihubungi Malaysia Dateline ekoran khabar angin beliau mahu sertai
Amanah.
Sehubungan itu, ujarnya, politik kepartian
melampau harus diketepikan pada masa ini dengan mengutamakan taktikal tertentu.
“Malaysia dalam keadaan berbahaya jika
membiarkan pemimpin bermasalah untuk terus menegakkan benang yang basah.
“Kita tidak mahu ada yang mengambil
kesempatan untuk mengekalkan kuasa dengan berterusan melakukan kemungkaran dan
penyelewengan,” tegasnya yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan
Kuala Kedah yang meletakkan jawatan itu baru-baru ini.
Mengulas lanjut siri jelajah Selamatkan
Malaysia melibatkan gerakan progresif termasuk NGO dan Dr Mahathir, beliau
berkata, semua pihak perlu bersatu demi perubahan dan reformasi yang adil dan
memberi manfaat kepada rakyat.
“Isu paling kritikal sekarang tentang
penyelewengan 1MDB dengan menanggung hutang lebih RM50 bilion dibimbangi akan
membawa akibat kepada kita semua.
“Pelaburan 1MDB yang dijamin oleh kerajaan
itu menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung kegagalan membayar hutang,” tegas
Nasir lagi.
Dalam hal berkaitan, Setiausaha Amanah
Kedah, Aris Awang pada 4 Mei lalu di Facebook memberitahu Nasir mengaku meletak
jawatan secara rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Kedah
pada 1 Mei lalu.
Aris pada catatan di Facebook beberapa jam
selepas itu turut menyeru Nasir membuat satu keputusan yang bermaruah
meninggalkan Pas kerana tidak berdosa sama sekali menjadi keahlian Amanah.
“Hang dok dalam (Pas) tu lagi pun depa
anggap hang pengkhianat dah. Depa buat mesyuarat pun tak habaq kat hang. Kat majlis
kenduri pun depa dok mengelak dari bersalam dengan hang. Padahal hang tu
Timbalan YDP. Adun lagi. Bukan pemeriksa kira-kira,” katanya.
Aris juga mengajak Nasir untuk meneruskan
perjuangan yang pernah dipelopori oleh Almarhum Ustaz Fadhil Nor dan Tuan Guru
Nik Aziz bersama Amanah sebagai wadah baru Amanah.
“Biaq pi lah depa (Pas) nak pusing
roundabout berapa kali pusing pun. Kita kena terus bergerak menuju hala tuju
yang jelas. Hidup kita bukan lama mana. Buat apa buang masa pusing roundabout
lama-lama. Islam Rahmatan Lil Aalamin,” tambahnya lagi.
-malaysiadateline
-malaysiadateline
Wednesday, 4 May 2016
PROGRAM MAHASISWA MASUK KAMPUNG CAPAI OBJEKTIF
Penduduk kampung bersama Mahasiswa Amanah sebelum memulakan perlawanan persahabatan Futsal |
Program Mahasiswa Masuk Kampung anjuran Biro Mahasiswa
Amanah dengan kerjasama Amanah Tanjong Malim yang diadakan di Kampung Rasau,
Slim River pada 2 Mei lalu mencapai objektif yang disasarkan, menurut Pengarah
programnya, saudara Khairol Najib Hashim.
Beliau yang juga merupakan Eksekutif Organisasi Pemuda Amanah Nasional melahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih kepada semua Ahli Jawatankuasa
dan peserta yang terlibat atas kelancaran program yang diadakan ini.
“Saya melihat kerjasama antara ahli dan penyokong Amanah
bersama penduduk kampung sangat baik dalam menjayakan aktiviti ini. Saya harap
kita akan dapat meneruskannya pada masa akan datang dan mungkin juga ke
kampung-kampung lain dalam parlimen ini” – Cikgu Junit, Setiausaha Amanah
Tanjong malim
Gotong –royong bersihkan kubur
Aktiviti membersihkan kubur merupakan cadangan daripada
penduduk kampung yang melihat keadaan di tanah perkuburan Islam di kampung mereka
tidak lagi terjaga selepas kematian penjaga kubur di situ.
Cikgu Junit |
Gotong-royong membersihkan masjid
Semua peserta program ini turut mengambil peluang
membersikan kawasan persekitaran masjid dan membetulkan beberapa kerosakan
kecil pagar masjid dan pokok-pokok mati sekitar masjid”
Cikgu Hassan |
“Saya berasa seronok dengan penyertaan anak-anak muda
yang rata-ratanya dalam usia 20-an hingga 30-an dapat meluangkan masa mereka
untuk program ini. Mudah-mudahan kita dapat menarik lebih ramai anak muda untuk
aktiviti kemasyarakatan begini” – Cikgu Hassan, Bendahari Amanah Tanjong Malim.
Ziarah Asnaf
Selepas selesai berjemaah Zohor, semua peserta menziarahi
beberapa rumah asnaf yang terdiri daripada warga tua dan kurang berkemampuan
untuk dihulurkan sumbangan keperluan harian seperti beras, gula dan lain-lain
keperluan. Aktiviti ini sepenuhnya dikendalikan oleh Mahasiswa Amanah dengan
bantuan beberapa penduduk kampung yang menunjukkan rumah para asnaf.
Khairol Najib Hashim |
“Ini adalah latihan kepada pelapis-pelapis muda
kepimpinan Amanah seperti kami untuk melihat sendiri bagaimana kehidupan rakyat
di bawah dan menyelami keluhan mereka dari sudut kebajikan mereka. Saya dan
rakan-rakan lebih mengerti bagaimana sebenarnya kepimpinan memberi kesan kepada
kehidupan rakyat di bawah” – Khairol Najib Hashim, AJK Amanah Tanjong Malim.
Perlawanan Persahabatan Futsal
Pada sebelah petang, satu perlawanan persahabatan Futsal antara
Mahasiswa Amanah dan penduduk kampung rasau yang terdiri dari kalangan anak
muda diadakan. Kelihatan semua yang terlibat mesra dan saling mengenali antara
satu sama lain.
Aminuddin Zulkipli |
“Sebagai salah seorang penduduk di sini, saya berpendapat
anak-anak muda di sini memerlukan pergaualan dari luar seperti mana pada hari
ini daripada Mahasiswa Amanah supaya pandangan dan pemikiran mereka lebih luas
dan membantu mereka memahami isu-isu semasa dalam Bahasa orang muda” –
Aminuddin Zulkipli , Ketua Amanah Tanjong Malim.
Makan Malam bersama
Sebelah malamnya pula, semua peserta dihidangkan dengan
jamuan istimewa iaitu kambing bakar selepas seharian beraktiviti. Beberapa
pimpinan daripada kedua-dua pihak memberikan ucapan ringkas bagi merakamkan
ucapan terima kasih masing-masing. Rata-rata peserta memberi reaksi positif dan
mengharapkan akan nada program susulan daripada Amanah Tanjong Malim.
Pak Imam Khalili, |
“Saya sebagai orang lama dalam politik tempatan di
peringkat akar umbi, saya memuji pengendalian program yang diadakan pada hari ini.
Inilah kerja amal yang seharusnya dijadikan program rutin Amanah untuk
mendekatkan diri dengan masyarakat dan insyaAllah saya melihat Amanah Tanjong
Malim mempunyai harapan yang sangat baik untuk berkembang di Tanjong Malim.” –
Pak Imam Khalili, AJK Amanah Tanjong Malim.
Sunday, 1 May 2016
SELAMAT HARI PEKERJA
SELAMAT HARI PEKERJA
Assalamualaikum dan
Salam Sejahtera.
Parti Amanah Negara (Amanah) Tanjong Malim mengucapkan
Selamat Hari Pekrja kepada semua para pekerja yang berada di Malaysia khususnya
di parlimen Tanjong Malim ini.
Dalam keadaan ekonomi dan kenaikan harga barang yang
membebankan para pekerja, Amanah Tanjong Malim menegaskan bahawa kami sentiasa
berusaha untuk bersama-sama aspirasi rakyat menuntut perubahan agar Malaysia
lebih baik dapat dijelmakan demi menjaga hak-hak pekerja yang semestinya
menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan untuk membelanya.
Maka dengan itu, kami berharap sempena sambutan hari pekerja
pada hari ini, kita semua menanam tekad dan semangat untuk berusaha ke arah
perubahan tersebut di samping menuntut Malaysia yang lebih baik.
Semoga apa yang kita impikan akan terus didokong oleh
seluruh pekerja di Malaysia.
Selamat Hari Pekerja.
AMANAH TANJONG MALIM