Parti Amanah Negara (AMANAH) hanya akan membuat keputusan
pada 15 Mei ini sama ada akan bertanding pada dua pilihan raya kecil (PRK) akan
datang, kata presidennya Mohamad Sabu.
“Kita akan bincangkan perkara
(bertanding dalam dua PRK) pada 15 Mei depan,” kata Mohamad ketika dihubungi Malaysiakini.
Malah, ketika diminta mengulas
tindakan PAS terlebih dulu mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen
Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Mohamad berkata beliau masih menunggu keputusan
rasmi mengenai kekosongan kedua-dua kerusi berkenaan.
“Kita masih lagi menunggu pengumuman rasmi dari kerajaan,
kerajaan pun tak umum kekosongan jadi kita pun tak bincang langsung mengenainya
tapi apa pun kita akan berbincang pada 15 Mei ini,” katanya yang juga mesra
dengan panggilan Mat Sabu.
Portal rasmi PAS, Harakahdaily, memetik
ketua pengarah pilihan raya parti itu, Datuk Mustafa Ali, semalam mengumumkan
PAS akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan.
Katanya, pada pilihan raya umum
lalu calon PAS hanya kalah tipis 399 undi di Sungai Besar manakala di Kuala
Kangsar pula majoriti calon BN hanya kira-kira 1,000 undi.
Kedua-dua kerusi itu kosong
berikutan nahas udara Khamis lalu yang mengorbankan enam orang di sungai Batang
Lupar, Sarawak.
Mereka yang terbunuh itu
termasuk, ahli parlimen Sungai Besar yang juga adalah Timbalan Menteri
Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen
Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar. Wan Ahmad.
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pagi
ini berkata HARAPAN akan membincangkan sama ada mana-mana parti sekutunya akan
bertanding pada dua pilihan raya kecil itu.
Pada pilihan raya Sarawak
kelmarin, PAS bertembung dengan parti serpihannya yang kini menganggota Pakatan
Harapan. Kedua-dua parti itu gagal mendapat sebarang kerusi.
Azmin, sebelum ini turut mempelawa PAS kembali dalam satu
pasukan bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berikutan kekalahan
teruk pembangkang semasa pilihan raya Sarawak.
Kedua-dua kerusi di Sungai
Besar dan Kuala Kangsar adalah kawasan campuran dengan majoriti Melayu yang
secara tradisinya ditandingi oleh PAS tetapi kini diintai pula oleh AMANAH.
- malaysiakini
0 comments:
Post a Comment