Mohamad Nizar Jamaluddin |
Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding pada PRK
Parlimen Kuala Kangsar berlandaskan persefahaman yang di meterai bersama PKR
dan DAP kata bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau yang juga Timbalan
Pengerusi Amanah Perak itu menegaskan ketetapan bahawa parti itu akan
bertanding kerusi-kerusi yang sebelum ini dipertandingkan oleh Pas dicapai
menerusi mesyuarat presiden Pakatan Harapan, justeru harus di jadikan sandaran
dalam pemilihan calon untuk PRK Kuala Kangsar di Perak.
"Kalau ikut prinsip asal
semasa mesyuarat Presiden Pakatan Harapan, mana-mana kerusi yang ditandingi
Pas, oleh kerana Amanah menggantikan PAS, maka mana-mana kerusi yang Pas
bertanding, automatik Amanah akan ambil tempat itu bertanding mewakili Pakatan
Harapan," katanya kepada sebuah portal berita.
Kerusi parlimen Kuala Kangsar
adakah kubu Umno dan secara lazimnya adalah saingan dua penjuru antara Barisan
Nasional (BN) dan Pas.
Namun dengan kemunculan
Amanah, PRK Kuala Kangsar di jangka menyaksikan saingan tiga penjuru atau lebih
di samping meletakkan PKR di dalam keadaan politik yang agak tersepit.
Ini kerana PKR mempunyai
kerjasama politik dengan Amanah menerusi Pakatan Harapan dan pada masa sama
masih menjalin permuafakatan dengan Pas.
Meskipun tewas di semua 13
kerusi yang ditandingi di Sarawak pada pilihan raya negeri itu baru-baru ini,
Amanah meletakkan harapan tinggi pada PRK Kuala Kangsar memandangkan parti itu
mempunyai penyokong agak ramai berbanding negeri lain.
Namun parti itu memerlukan
sokongan kuat PKR untuk memberi cabaran kepada BN.
"(Kami) memang kuat di
Perak, dan keduanya, hampir 30 peratus pengundi Kuala Kangsar adalah bukan
Melayu. Dan orang bukan Melayu akan tolak Pas, itu berdasarkan pengalaman saya
di Changkat Jering dan Bukit Gantang," kata Nizar.
Bagaimanapun Nizar yang juga
Adun Changkat Jering itu berkata, keputusan muktamad akan diputuskan kepimpinan
tertinggi Pakatan Harapan pada 15 Mei ini.
"Kena buat keputusan dulu
sama ada yang mewakili Pakatan Harapan itu siapa dia. Kalau Pakatan Harapan
setuju Amanah yang akan mewakili Pakatan Harapan, maka Amanah akan masuk
bertanding dan bekerja kuat," kata Nizar.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar
kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan
Ahmad dari BN yang terkorban dalam tragedi helikopter di Sebuyau Sarawak 5 Mei
lalu.
Selain Wan Mohammad Khair-il,
turut terkorban dalam insiden itu adalah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk
Noriah Kasnon, bersama empat penumpang lain.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
akan bermesyuarat Jumaat ini bagi menetapkan tarikh PRK Kuala Kangsar dan
Sungai Besar.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13
lalu, BN memenangi kerusi Kuala Kangsar dengan majoriti 1,082 dalam
pertandingan tiga penjuru dengan Pas dan calon bebas.
Calon Pas, Khalil Idham Lim
Abdullah memperoleh 13,136 undi manakala calon Bebas, Kamilia Ibrahim
memperoleh 447 undi.
BN juga mengekalkan kerusi
parlimen Sungei Besar dengan Noriah memperoleh majoriti 399 undi, menewaskan
calon Pas Mohammed Salleh M Husin.
- malaysiadateline
0 comments:
Post a Comment