Tuesday, 10 May 2016

NAJIB KINI TERPAKSA BERGANTUNG KEPADA KERAJAAN NEGERI UNTUK BERKUASA, KATA DR MAHATHIR

Foto - theantdaily
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini berdepan tekanan lebih besar kerana terpaksa bergantung kepada kerajaan negeri untuk kekal berkuasa, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas kemenangan Barisan Nasional di Sarawak baru-baru ini.
Dr Mahathir berkata kemenangan BN di Sarawak hanya bersifat sementara malah Najib akan terpaksa bergantujg kepada sesebuah kerajaan negeri selepas ini bagi memastikan mereka terus menjadi parti pemerintah.
“Kemenangan ini hanya bersifat sementara, memang kerajaan negeri menang tetapi tidak pada Kerajaan Pusat.
“Ini kerana ia bergantung kepada kerajaan negeri. Kerajaan Pusat kena penuhi permintaan kerajaan negeri kerana mereka bergantung kepada Kerajaan Pusat. Ini akan memberi lebih tekanan kepada Najib,” kata Dr Mahathir dipetik dalam akhbar Sinar Harian semasa berucap dalam sebuah program di Pulau Pinang.
Malah keadaan ini menurut Dr Mahathir tidak baik untuk pembentukan sebuah negara apabila rakyat Malaysia kini masing-masing sudah lupa mereka sebenarnya adalah warganegara dan bukan bergantung kepada kenegerian semata-mata.
“Sekarang ini Johor bercakap tentang Johorian, Sarawak jadi Sarawakian. Kita lupa kita adalah Malaysia dan kini sudah terhakis konsep satu negara kerana masing-masing bawa diri sendiri,” kata beliau.
Dr Mahathir merujuk kepada slogan “Bangsa Johor” kebelakangan ini yang bermula dari selatan tanahair dan juga kempen dengan slogan “Sarawak for Sarawakian”.
Kerajaan BN mendapat mandat besar selepas Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 7 Mei lalu apabila berjaya memenangi 72 kerusin Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 82.

-themalaysianmirror


0 comments:

Post a Comment