PELANCARAN JENTERA PILIHAN RAYA AMANAH NEGERI PERAK

Sebahagian wakil jentera pilihan raya Amanah Tg Malim bersama-sama mengangkat plakad “Selamatkan Malaysia” .

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU CINA

Ikhlas Daripada : AMANAH Tanjung Malim .

SUMBANGAN BUAH LIMAU

AMANAH Tanjung Malim dalam program sumbangan buah limau kepada penduduk di Slim Village

PROGRAM MAHASISWA MASUK KAMPUNG

Mahasiswa Amanah bersama anak muda Kampung Rasau dalam perlawanan persahabatan Futsal.

MISI PARTI AMANAH NEGARA

Misi AMANAH meletakkan Amanah, Progresif dan Peduli sebagai asas mensejahterakan rakyat berlandaskan Maqasid Syariah

PIMPINAN AMANAH PUSAT

Saf Kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) Pusat

ISLAM RAHMAT SELURUH ALAM

Dasar “Islam Rahmat Seluruh Alam” menjadi pegangan setiap ahli AMANAH

VISI PARTI AMANAH NEGARA

Visi AMANAH jelas memperjuangkan Malaysia yang Adil, Beramanah dan Rahmah untuk semua

KICAU DEENI BERSAMA UST. AHMAD AWANG DAN UST ABD GHANI

Ust Ahmad Awang bersama Ust Abd Ghani memberikan pencerahan berkaitan kasih saying, ukhwah dan silaturrahim di hadapan ahli AMANAH Tg Malim yang dipengerusikan oleh Sdr. Khairul Najib. Foto – Mohd Shafie

Friday, 29 April 2016

PEMUDA AMANAH SEDIA JADI ORANG TENGAH BABIT ISU PERKAUMAN DI PERAK

Khairol Najib Hashim
Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Nasional sedia menjadi oran tengah dan mengambil serius berkaitan isu perkauman yang boleh mencetuskan rasa kurang senang di kalangan rakyat yang berlaku di Perak baru-baru ini.

Exco Pemudanya Khairol Najib Hashim berkata, penangkapan suspek atas dakwaan menghina Islam menerusi akaun Facebook sebagai 'Gunalan Muniandy' wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa kerana kerana menghina Islam.

Beliau berharap agar semua pihak dapat bertenang dan menyerahkan kes tersebut kepada pihak berkuasa untuk dijalankan siasatan dan perbalahan akibat daripada kes tersebut dapat dihentikan segera.

"Pemuda Amanah bersedia untuk menjadi orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian sekiranya perkara-perkara yang melibatkan sensitiviti kaum atau agama menjadi punca pertelagahan sesama kita.

Menurutnya tindakan suspek jelas berniat jahat dengan bertujuan melaga-lagakan kaum melayu dan india susulan kes vandalism yang berlaku di kuil Sree Muneeswarar Amman Kovil, Ipoh yang dilaporkan dilakukan oleh seorang pemuda kurang siuman beragama Islam sebelum ini

"Diharapkan juga pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin bagi mendakwa mereka yang benar-benar didapati bersalah dan memberi penerangan kepada umum agar isu ini tidak lagi berlanjutan," ujar AJK Amanah Tanjong Malim dalam satu kenyataan hari ini

Pemuda Amanah Nasional  ujarnya kesal dengan tindakan tersebut sekiranya suspek benar-benar melakukan perkara itu.

"Sekiranya suspek terbukti menyamar dan mengeluarkan kata-kata menghina Islam seperti yang tersebar sebelum ini, Pemuda Amanah berharap suspek dapat diambil tindakan sewajarnya kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja boleh mencetuskan perbalahan malah boleh menimbulkan persengketaan dan syak wasangka berpanjangan antara kaum." ujarnya.


Semalam polis telah menahan suspek  dikenali sebagai  Abdul Rahman Abdullah, 38, dari Kampung Station, Kuala Kangsar dengan menggunakan nama ‘Gunalan Muniandy’ yang menjadi perdebatan di media sosial kerana mahu berdemontrasi di Bukit Aman hari ini.

Suspek telah ditangkap di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- malaysiadateline


SELEPAS 4 HARI KEMPEN, 5 CALON AMANAH BERPELUANG MENANG

Selepas 4 hari kempen berjalan, sekurang-kurangnya lima dari 13 calon Parti Amanah Negara (Amanah) menunjukkan peningkatan dalam pencapaian mereka apabila kerusi mereka dikategorikan sebagai kelabu oleh Bilik Gerakan BN dan juga media di Sarawak.

Menurut sumber, kerusi Sebuyau, Balingian, Kabong, Damak laut dan Beting Maro kini dimasukkan dalam kategori kelabu oleh Barisan Nasional (BN) yang membawa makna boleh dimenangi oleh lawan mereka.

Sebuyau ditandingi tiga penjuru oleh tiga calon iaitu Datuk Haji Julaihi Haji Narawi (PBB), Haji Wan Abdillah Bin Wan Ahmad (Pas) dan Andrew Anak Jain (Amanah).

Demak Laut pula ditandingi satu lawan satu antara Dr Haji Hazland Bin Abang Haji Hipni (PBB) dan pengerusi Amanah Sarawak, Mohammad Fidzuan Zaidi.

Di Kabong pula, calon BN Mohamad Chee Kadir (PBB) akan berdepan dengan Novert Sullang (DNP) dan Jini Bin Sahini (Amanah).

Di Balingian pula pertembungan satu lawan satu antara Abdul Yakub Arbi (PBB) dan Nurzaiti Binti Hamdan (Amanah).

Di Beting Maro, calon BN, Razaili Haji Gapor (PBB) akan berdepan dengan Hamidah Binti Mokhtar (Pas) dan Andri Zulkarnean Hamden (Amanah).

Selain itu, dua lagi calon Amanah dijangka memberikan tentangan sengit kepada lawan masing-masing iaitu N26 Gedong yang diwakili oleh Rapelson Richard Hamit dan N.16 Muara Tuang yang diwakili oleh Abang Abdul Halil Abang Naili.

Rapelson, seorang OKU kini mendapat simpati pengundi selepas beliau diserang kerana kekurangan beliau padahal calon Amanah ini mempunyai banyak kelebihan termasuk menjadi orang kepercayaan anak Sarawak untuk memperjuangkan isu tanah di negeri ini.

Beliau akan berhadapan dengan calon BN, bekas menteri muda kerajaan negeri, Datuk Haji Mohd Noroden Haji Majais (PBB) yang sebelum ini bertanding di Simunjan.

Sementara itu, Abang Abdul Halil, seorang jurutera yang mewakili Amanah di Muara Tuang pula dikatakan bergerak sejak sekian lama di sini untuk bertanding kali ini.


Sebagai Setiausaha Amanah Sarawak, Abang Naili, bekas aktivis Ikram banyak dibantu oleh jentara dari NGO Islam itu.

- malaysiadateline

Thursday, 28 April 2016

LAPORAN PAC BERHUBUNG 1MDB TIDAK MENYELURUH, KATA AHLI MAJLIS PROFESOR

Jho Low antara individu yang dikaitkan
dengan skandal 1MDB
Seorang ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengatakan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih tidak menyeluruh dan hanya menimbulkan banyak lagi persoalan.

Berbeza dengan kenyataan pemimpin Umno yang menyifatkan skandal 1MDB sudah selesai tidak benar, kata Nik Ahmad Kamal.

“Ia pasti akan bertambah rumit. Isu hutang yang perlu dibayar mendapat perhatian semua. Jadi apa yang disebutkan oleh ramai ahli politik, termasuk ahli PAC, bahawa isu 1MDB telah selesai nampaknya tidak tepat.

“Laporan PAC mengenai pengurusan 1MDB yang dibentangkan sebelum ini pasti dianggap tidak menyeluruh, malah, timbul lebih banyak persoalan lain,” beliau dipetik berkata dalam Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata laporan tersebut masih menimbulkan pelbagai tanda tanya dengan kehilangan berbilion wang negara tetapi tidak ada seorang pun pihak bertanggungjawab.

“Banyak persoalan akan terus timbul, malah mereka yang memberi perhatian terhadap isu ini akan menanti sehingga persoalan mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam isu hutang 1MDB, terjawab.

“Saya juga percaya lebih banyak konflik akan timbul selepas ini apabila satu persatu isu lain timbul oleh mereka yang terlibat dengan 1MDB dan perhatian pasti diberikan kerana akhirnya 1MDB adalah tanggungan kerajaan juga,” katanya.

Beliau juga menekankan mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) menyebabkan kebenaran berhubung skandal 1MDB masih lagi samar.

Laporan PAC dibentang pada 4 April lalu di Dewan Rakyat selepas melalui pelbagai halangan dan kelewatan.

Bagaimanapun, laporan tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan apabila laporan interim Ketua Audit Negara dan laporan terakhirnya bulan lalu mengenai 1MDB tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Hasan Arifin juga dituduh menyunting laporan PAC mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan.

- themalaysianmirror


“TURUN UNTUK SELAMI KELUHAN RAKYAT” – KHAIROL NAJIB

Khairol Najib Hashim
Tanjong Malim, 28 April – Menjelang program Mahasiswa Masuk Kampung yang ditunda ke 2 Mei ini, Exco Pemuda Amanah Nasional merangkap AJK Amanah Tanjong Malim, saudara Khairol Najib Hashim mengerahkan semua ahli dan penyokong Amanah Tanjong Malim untuk turun beramai-ramai ke Kampung Rasau bagi menjayakannya.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau memaklumkan segala persiapan dan perbincangan bersama penduduk kampung adalah sangat positif. Sehingga kini, katanya Ahli Jawatankuasa program telah menyusun aktiviti  bersama orang kampung seperti gotong-royong, infaq asnaf, perkongsian pendapat dan lain-lain aktiviti kemasyarakatan dan penduduk kampung mengalu-alukan kedatangan Amanah di kampung mereka.

“Kita telah adakan pertemuan dan memberi makluman berkaitan program ini bersama orang kampung dan kita akan mengambil peluang ini sebagai cara menyelami keluhan dan membantu sekadar mana kemampuan yang kita ada”, ulasnya.

Beliau turut menggesa agar mahasiswa, seluruh ahli dan penyokong Amanah yang berada sekitar parlimen Tanjong Malim untuk turut serta dalam program ini dan sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti yang dijalankan.

“Kita minta semua ahli dan penyokong Amanah Tanjong Malim untuk bersama-sama meluangkan masa dalam program berbentuk kebajikan ini untuk mengeratkan hubungan sesam kita dan orang kampung”, jelasnya yang juga merupakan antara individu yang dihalang pihak Imegresen untuk memasuki Sarawak baru-baru ini.

Program Mahasiswa Masuk Kampung di Kampung Rasau adalah program yang dianjurkan bagi menarik penyertaan mahasiswa sekitar parlimen Tanjong Malim dalam aktiviti kemasyarakatan di bawah anjuran Biro Mahasiswa Pemuda Amanah Nasional dan Amanah Tanjong Malim.

DATUK MUHAMMAD IBRAHIM DILANTIK SEBAGAI GABENOR BANK NEGARA KE-8

Datuk Muhammad Ibrahim
Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Malaysia (BNM) untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei, 2016, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pelantikan beliau telah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong di atas nasihat Perdana Menteri.

"Saya yakin di bawah kepimpinan Muhammad, BNM akan meneruskan sumbangannya dalam membantu kerajaan serta memberi nasihat dan pandangan bagi memacu perkembangan ekonomi negara," kata Najib dalam satu kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri juga yakin gabenor baharu itu dapat mentadbir dasar monetari dan mengawal selia industri kewangan negara, termasuk meneruskan usaha bank pusat membangunkan industri kewangan dengan sewajarnya.

Jawatan terakhir Muhammad adalah sebagai Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, disandang sejak 2010.

Beliau memegang sijil Sarjana daripada Universiti Harvard, Amerika Syarikat.

"Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz di atas segala sumbangan cemerlang beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Gabenor BNM yang ketujuh," kata Najib.

Sementara itu portal berita Malaysiakini melaporkan Muhammad Ibrahim adalah antara tiga calon utama yang disebut-sebut sebelum ini untuk menggantikan Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang menamatkan kontrak beliau hujung bulan ini.

Beliau telah disahkan sebagai gabenor ke-8 untuk tempoh lima tahun lagi setelah 32 tahun berkhidmat dengan bank pusat itu dalam pelbagai bahagian.

Antara bahagian yang pernah mendapat sentuhan Muhammad sebelum ini ialah peraturan dan pemantauan bank, perancangan strategik, sistem pembayaran, insurans, perbankan pesisir dan perbendaharaan serta pasaran kewangan.

Pendakian beliau yang sering digelar Datuk MI dalam bank pusat itu sarat membawa pengalaman sehinggalah beliau diangkat ke jawatan Timbalan Gabenor Bank Negara sejak 2010.

Beliau juga ahli Jawatankuasa Dasar dan Kestabilan Kewangan Bank Negara yang bertanggung jawab dalam pembangunan pasaran kewangan dan operasi Perbendaharaan termasuk tukaran matawang asing dan pengurusan rizab bank pusat.

Pada masa yang sama, beliau turut memantau pembangunan perbankan termasuk kewangan Islam dan sektor insurans.

Tidak terhad kepada itu, Muhammad juga merupakan individu yang bertanggung jawab dalam memacu agenda Malaysia ke arah migrasi kepada pembayaran secara elektronik atau e-Payments untuk menjana kecekapan kos dan operasi kepada perniagaan.

Beliau turut terlibat secara aktif dalam usaha secara kolaboratif dengan bank pusat serantau untuk membangunkan platform penyelesaian bayaran pelbagai matawang bagi melanjutkan rangkaian dalam transaksi merentasi sempadan dalam perdagangan dan pelaburan.

Dari sudut pengajian, selain melanjutkan pengajian peringkat Sarjana di Universiti Harvard, Amerika Syarikat, beliau turut memegang sijil Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Malaya dan Diploma Lanjutan Perbankan Islam dan Kewangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Selain memegang jawatan nombor dua bank pusat, Muhammad juga menjawat pelbagai portfolio dalam pelbagai bidang korporat dan badan profesional.


Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Agensi Akreditasi Kewangan, ahli Lembaga Dana Persaraan Diperbadankan, ahli Institut Akauntan Malaysia selain ahli panel Dana Amanah Nasional.

Di samping itu, beliau juga Pengerusi Senat Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam, Pengerusi Jawatankuasa Irving Fisher Statistik Bank Pusat, Bank untuk Penyelesaian Antarabangsa dan felow Institut Ahli Perbankan Bertauliah Asian.

- malaysiadateline 

Wednesday, 27 April 2016

LANGKAH KE DEPAN PAKATAN HARAPAN



KENYATAAN MEDIA
AMANAH TANJUNG MALIM

LANGKAH KE DEPAN PAKATAN HARAPAN

Perkembangan terkini berkaitan pertindihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 melibatkan parti-parti dari Pakatan Harapan iaitu DAP dan PKR sedikit sebanyak menjejaskan tempo dan momentum para jentera untuk berkempen.

Pertembungan 6 kerusi antara DAP dan PKR begitu memberi kesan meskipun saranan dan desakan di pihak akar umbi agar kemelut itu diselesaikan secara baik tidak dapat dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi sehingga tiba hari penamaan calon.

Natijahnya, pelbagai reaksi, persepsi dan pandangan dilontarkan dalam media dan ini menjejaskan tumpuan PH untuk menyusun strategi menentang Barisan Nasional.

Dalam beberapa kenyataan terbaru daripada pimpinan, jelas menunjukkan harapan supaya rundingan terus dijalankan seperti yang disarankan oleh bekas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim harus diambil bagi memperbaiki keadaan.

Bagi mendepani cabaran yang lebih besar pada PRU ke-14, Amanah Tanjong Malim menyarankan agar rundingan kerusi antara ketiga-tiga parti harus dimulakan lebih awal bagi memberi ruang berunding itu lebih konstruktif dan berjalan dalam keadaan harmoni.

Berdasarkan kepada apa yang telah berlaku, PH perlu menyedari akan kelemahan dalam memberi keyakinan kepada pemimpin akar umbi bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi adalah keputusan yang perlu dipatuhi dan penjelasan terperinci dengan sokongan data dan kajian harus diberi agar semua pihak memahami mengapa sesuatu keputusan itu dibuat.

Selain itu, formula lama yang memperuntukkan satu-satu kerusi kepada sesebuah parti berdasarkan parameter-parameter dan pertimbangan lama dalam pilihan raya –pilihan raya sebelum ini harus dinilai semula supaya keputusan yang dibuat tidak bercanggah dengan realiti sebenar yang kadang-kala berubah daripada keadaan sebelum ini.

Justeru, Amanah Tanjung Malim menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan segera merangka satu standard baru dan membentuk Jawatankuasa Khas yang bertanggungjawab dalam penetapan kerusi-kerusi untuk parti-parti dalam PH untuk PRU ke-14 nanti.

Semoga dengan adanya penegasan dan kesepaduan dalam Majlis Presidan akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih PH bagi menerajui Putrajaya.


Aminuddin Zulkipli
Ketua Amanah Tanjong Malim.

Tuesday, 26 April 2016

EXCO PEMUDA AMANAH ENGGAN PATAH BALIK SELEPAS DIHALANG MASUKI SARAWAK

Khairol Najib Hashim (kanan)
Exco pemuda Amanah nasional, Khairol Najib Hashim bertekad untuk tidak berpatah balik selepas tidak dibenarkan masuk ke Sarawak petang tadi,

"Saya akan berada di Sarawak selama mana yang saya boleh bertahan, saya nekad," katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di portal rasmi Amanah.

Menurutnya, Ketua Menteri Sarawak perlu tahu bahawa dia sesekali tidak akan akur dengan peraturan-peraturan merepek seperti ini.

"Sampai bila kuasa istimewa yang terkandung dalam senarai negeri seperti Sarawak akan terus disalahgunakan?, "soalnya.

"Silakan hantar sesiapa sahaja untuk mengusir saya daripada memasuki negeri yang menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia, negara yang saya cintai ini," katanya.

Baginya, hajat berkampung selama dua minggu di Sibu untuk bersama menggerakkan jentera pilihanraya DUN Semop dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Sarawak kali ini nyata tidak kesampaian.

"Saya dihalang daripada memasuki Sarawak. Menaiki penerbangan AirAsia (AK5872) dari Kuala Lumpur ke Sibu pada jam 12.50 petang, saya tiba tepat jam 2.50 petang di Lapangan Terbang Sibu.

Ini adalah kali ketiga saya memasuki Negeri Sarawak. Kali pertama pada Ogos tahun lalu di Kuching membantu rakan saya, Musa Ngoc, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di DUN Tarat. Kali kedua saya ke Bintulu pada Februari lepas, bersama-sama rakan-rakan lain menggerakkan jentera Pemuda Amanah di DUN Samalaju.

Peliknya, kedua-dua kemasukan saya sebelum ini seperti tiada sebarang masalah. Namun kali ini, saya 'sangkut' di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Sibu," katanya

Menurut Khairol, setelah kad pengenalan diberi, pegawai imigresen meminta saya masuk ke pejabat imigresen di situ.

Sedang melangkah masuk ke bilik menunggu, pegawai berkenaan memberitahu rakannya dalam pejabat, "Bos, 'A'!".

Kisahya seakan-akan sama dialognya seperti yang dialami oleh sahabat beliau, Shazni Munir, pagi tadi.

"Shazni Munir juga telah disenarai "NTL", dihalang daripada memasuki Sarawak dan telah sampai ke Kuala Lumpur ketika ini.

Pegawai imigresen tersebut menemubual saya dan memaklumkan saya tidak dibenarkan masuk ke Sarawak atas arahan Kerajaan Negeri. Saya menyoalnya kembali, "Atas sebab apa?" Beliau hanya memaklumkan, ia arahan kerajaan negeri." Katanya

"Saya berpandangan, telah sampai dan ketikanya situasi seperti ini ditamatkan," katanya.

- malaysiadateline

Monday, 25 April 2016

ABIM GESA LAPORAN AUDIT 1MDB DIKELUARKAN DARI OSA

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa Dewan Rakyat menarik balik klasifikasi rahsia yang dikenakan ke atas laporan 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara.

Ia susulan laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung kelemahan pentadbiran serta pengurusan 1 MDB sepertimana yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 April 2016 yang lalu.

"Pembentangan laporan PAC (yang turut disiarkan kepada masyarakat awam) itu menimbulkan pelbagai persoalan daripada rakyat Malaysia yang prihatin," kata Presiden Abim, Mohamad Raimi Ab Rahim dalam kenyataan media hari ini.

"Sekiranya dokumen laporan Ketua Audit Negara diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam, ia membolehkan ahli parlimen (di Dewan Rakyat), badan-badan kerajaan yang berkenaan, di samping rakyat menjadikannya sebagai sumber rujukan serta perbandingan bagi mengesahkan dengan laporan PAC.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebelum ini memberitahu laporan Ketua Audit Negara tidak boleh dibentangkan lagi kerana ia masih diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Terbaru, kata Mohamad Rami, berkata gesaan agar laporan tersebut dijadikan sebagai dokumen awam juga dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Justeru Abim menggesa agar badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penyiasatan diberikan ruang sepenuhnya untuk menyiasat dengan lebih lanjut Lembaga Pengarah dan Lembaga Penasihat 1MDB.

"Lebih penting, siasatan tersebut mesti disusuli dengan tindakan perundangan terhadap kesemua mereka yang terbabit di mahkamah terbuka.

"Siasatan bebas ini sangat penting memandangkan polemik 1MDB ini telah menjadi topik perbincangan utama di kalangan masyarakat antarabangsa yang dilihat menjatuhkan maruah negara," katanya.

- malaysiakini

Saturday, 23 April 2016

PENUNGGANG MOTORSIKAL MAUT DILANGGAR LORI

Slim River, 22 April – Seorang pemuda berbangsa India dilaporkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di jalan Slim River-Behrang berhampiran Restoran Rimba  kira-kira jam 11.30 malam tadi.

Mangsa yang menunggang motorsikal dipercayai dilanggar dan digilis sebuah lori dari arah belakang. Menurut saksi, kemalangan tersebut berlaku  terlalu pantas dan lori tersebut terus meninggalkan mangsa di tempat kejadian meskipun menyedari lori yang dipandunya melanggar motrosikal yang ditunggang mangsa.

Kad Pengenalan mangsa

Mangsa dikenalpasti sebagai Siva Balan a/l Pubalan selepas kad pengenalannya dijumpai pihak berkuasa di tempat kejadian.

Sejurus selepas kejadian, orang ramai segera menghubungi pihak polis, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPAM ) dan ambulan.

Mangsa dipercayai mati di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Slim River kira-kira jam 12.00 tengah malam.

PROGRAM MAHASISWA MASUK KAMPUNG DITUNDA


Dimaklumkan bahawa program Mahasiswa masuk Kampung yang dijadual berlangsung di Kampung Rasau pada hari ini terpaksa ditunda ke 2 Mei 2016 (Isnin) atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

 Pihak penganjur, Amanah Tanjong Malim bersama Pemuda Amanah Nasional  memohon maaf atas penundaan ini dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya dari semasa ke semasa.


Justeru semua dijemput hadir ke program tersebut pada 2 Mei ini di Kampung Rasau. Datanglah beramai-ramai. 



Amanah Tanjong Malim.

Tuesday, 19 April 2016

KES BUKIT KEPONG : PENDAKWA RAYA MERAYU

Meskipun diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Butterworth bahawa Mohamad Sabu tidak bersalah dalam kes "Bukit Kepong" pada Julai tahun lalu, pihak pendakwa raya walau bagaimanapun tidak berpuas hati dan telah merayu bagi mencabar keputusan tersebut.

Peguam beliau, Aminuddin Zulkipli yang juga merupakan Pengerusi Amanah Tanjung Malim mengesahkan perkara tersebut dan berkata, kes dirayu oleh pihak pendakwa raya dan dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.

“Pendakwa raya telah merayu, tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah sebelum ini, dan pengurusan kes akan dijalankan pada Khamis, 21 April ini” katanya ringkas ketika dihubungi.

Sebelum ini Mahkamah Sesyen Butterworth memutuskan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak bersalah atas dakwaan membuat kenyataan fitnah berkaitan serangan komunis di balai polis Bukit Kepong pada 1950.

Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes.

Mat Sabu didakwa mengeluarkan ucapan tersebut dalam satu ceramah di Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al Fahmi, Markas Tarbiyah PAS Padang Menora, Tasek Gelugor dekat Butterworth pada 21 Ogos 2011.

Monday, 18 April 2016

PENGAKUAN SAUDI SEOLAH-OLAH NAJIB TELAH DIBELI - MAT SABU

Mohamad Sabu - Presiden AMANAH
Pengakuan menteri luar Arab Saudi bahawa kerajaannya mendermakan RM2.6 bilion kepada Datuk Seri Najib Razak menggambarkan Malaysia dan perdana menteri sendiri telah dibeli untuk menyertai blok yang diketuai negara itu.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu berkata, ini kerana Arab Saudi kini sedang mengetuai blok besar di Timur Tengah dan dilihat sedang bertelagah dengan kumpulan dari blok lain.

"Oleh itu pengakuan memberi derma kepada Najib itu telah menyebabkan Malaysia seolah-olah telah dibeli untuk menyertai blok yang diketuai oleh Arab Saudi itu," katanya pada kenyataan media.

Mat Sabu berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang dikenali khususnya dalam rangkaian negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) atas sifatnya yang berkecuali.

Antaranya dalam beberapa isu termasuk peperangan Bosnia, isu Afghanistan dan sokongan terhadap Palestin.

"Kesannya, imej hebat Malaysia selama ini akhirnya telah terjejas dengan derma ini. Malaysia tidak lagi dilihat berkecuali dan boleh memainkan peranan," kata Mat Sabu.

Justeru katanya, untuk keluar daripada kemelut itu beliau memohon Najib supaya meletakkan jawatan 'secara terhormat'.

"Tindakan ini penting bagi menamatkan segala bentuk spekulasi dan tohmahan kepada Malaysia sekaligus memulihkan imej negara yang kini buruk di Timur Tengah termasuk di Eropah.

"Malaysia hendaklah kembali memainkan peranan seperti dahulu menjadi orang tengah, pendamai, dan bukannya pengadu domba. Itulah peranan yang dimainkan oleh semua Perdana Menteri sebelum Najib Tun Razak.

Jumaat lalu Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir mengaku bahawa sumbangan derma kepada perdana menteri datang dari negara itu.

Al-Jubeir dilaporkan memberitahu wartawan Malaysia di Istanbul bahawa kerajaan Saudi sedar derma itu adalah tulen tanpa mengharapkan balasan

- Malaysiakini


Saturday, 16 April 2016

HOMEOPATHY RAHSIA AHMAD AWANG KEKAL SIHAT DI USIA LAPAN DEKAD

Walaupun sudah melewati umur 80 tahun, Penasihat Umum Amanah Ustaz Ahmad Awang masih sihat dan kekal bertenaga.
Antara rahsia tokoh ulama ini mengekalkan kesihatan adalah mengamalkan perubatan homeopati dan mengawal pemakanan.
"Dari segi rawatan perubatan sejak dari umur 30-an saya mengamalkan rawatan homeopati. Sejak zaman Dr Burhanuddin al-Helmi dialah yang menggalakkan saya mengamalkan homeopati dan dialah bapa perubatan homeopati negara.
"Dr Burhanuddin mula buka sekolah perubatan homeopati di Melaka. Dari Melaka homeopati berkembang ke seluruh Malaysia. Kebetulan waktu beliau dalam uzur pada tahun 1960-an selepas balik dari Australia, saya ziarahi dia.
"Dia kata ketua doktor di Hospital Besar Perak kata tubuh dia sudah tak boleh dirawat. Dia buka semula buku-buku, kebetulan saya baru keluar dari hospital dan saya ceritakan masalah dan doktor tak boleh kesan apa puncanya.
"Dia bagi nasihat, keupayaan kaji darah di Malaysia ketinggalan 40 tahun dari dunia Barat. Selepas pergi mendapatkan rawatan di Australia baru doktor dapat kesan dalam darah Dr Burhanuddin ada racun.
"Kemudian dia tunjuk gambar Royal Homeopathy Clinic di London. Dia bagi saya ubat. Sejak itu saya terus buat rawatan homeopati," ujar Ustaz Ahmad.
Beliau turut mengamalkan pesanan Rasulullah s.a.w. iaitu makan jangan sampai kenyang.
"Jadi saya makan beransur-ansur daripada dulu sepinggan kadang-kadang bertambah, lepas itu kurangkan. Akhirnya makan separuh daripada yang biasa makan dan akhirnya makan sekali sahaja nasi sehari," ujarnya.
Beliau turut mengurangkan pengambilan nasi dan mengelak makanan berminyak dan mengandungi kolesterol.
"Kesihatan kena jaga, setiap enam bulan sekali kena buat pemeriksaan penuh. Sekurang-kurangnya buat senaman, berjalan kaki. Seminggu sekali sekurang-kurangnya," pesan beliau.
- malaysiadateline

TAK MENGALAH, PERAK IKAT PKNS

Ipoh, 15 April – Sikap tidak mengalah pasukan bola sepak Perak yang menentang PKNS dalam aksi separuh akhir pusingan pertama Piala FA di Stadium Hang Jebat  malam tadi berjaya mengikat PKNS dengan jaringan 2-2.

Pasukan PKNS membuka jaringan awal selepas mendapat sepakan penalti  melalui penyerang importnya Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-48.

Sepakan penalti tersebut diberikan pengadil selepas Cobelli dikasari pemain pertahanan Perak, Shahrul Mohd Saad dalam kotak penalti.

Perak yang tersentak dengan jaringan tersebut membuat serangan balas dan berjaya menyamakan kedudukan pada  minit ke-58 hasil tandukan Muhammad Nurridzuan Hassan melalui sepakan sudut yang diambil oleh Firdaus Sayyadi.

Kedudukan ini kekal sehingga minit ke-71 selepas Guerra sekali lagi menggegarkan gawang gol Perak apabila berjaya menggelecek 3 pemain Perak dan berjaya menaringkan gol kedua PKNS.

Ketika permainan seolah-olah tamat dengan kemenangan kepada PKNS, Perak tidak mengalah dan berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-92 hasil tandukan cantik Thiago Junio De Aquino hasil hantaran lintang Mohamad Hafiz Ramdan.


Dengan jaringan 2 gol di tempat lawan, Perak dijangka berada dalam kedudukan selesa untuk bertemu PKNS pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Perak, 30 April depan.