Slim River - Parti
Amanah Negara (AMANAH) Parlimen Tanjong Malim bersedia untuk turun padang,
membuat lawatan dan kunjungan ke setiap kampung di daerah ini sebagai usaha
mempromosi dan memperkenalkan AMANAH kepada masyarakat di sini.
Aminuddin Zulkipli, Pengerusi AMANAH Tg Malim |
Pengerusinya, Tuan Haji Aminuddin Zulkipli berkata, AMANAH
Tanjong Malim telah melalui fasa pertama iaitu penubuhan dan pelantikan jawatankuasa di peringkat parlimen serta
mewujudkan pusat operasi yang menjadi pejabat AMANAH Tanjong Malim bertempat di
Slim River dan kini perlu memberi fokus kepada rancangan mempromosi kepada
penduduk setempat dan mendapatkan ahli seramai mungkin dengan menjalankan
program turun padang ke setiap kawasan di Parlimen Tanjong Malim.
Beliau dilaporkan turut merancang bagi membentuk sebuah
jawatankuasa khas di peringkat Parlimen Tanjong Malim untuk mengkaji dan
membuat perancangan strategik memperkembangkan AMANAH di peringkat cawangan.
“Rekod menunjukkan kehadiran dan respon orang ramai dalam
beberapa program AMANAH Tanjong Malim sebelum ini begitu positif, dan kita
mempunyai keyakinan sekiranya satu gerak kerja yang berterusan dilakukan,
AMANAH Tanjong Malim mampu menjadi wadah terbaik bagi masyarakat setempat menyumbang
tenaga dalam membuat perubahan di peringkat Parlimen”, katanya apabila ditanya
perkembangan AMANAH Tanjong Malim.
“Sebagai sebuah parti yang bersama Pakatan Harapan, kita
juga komited untuk mencari ruang bagaimana Parlimen Tanjong Malim dan DUN yang
berada di dalamnya boleh ditawan dalam pilihan raya akan datang bagi memenuhi
harapan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan berlaku di peringkat negeri dan persekutuan”,
tambahnya lagi.
Dalam pada itu beliau turut menyarankan kepada seluruh
masyarakat di Parlimen Tanjong Malim untuk bersama-sama dalam gerakan perubahan
ini memandangkan imej dan kredabiliti kerajaan sedia ada semakin tercalar
dengan isu-isu rasuah dan salah guna kuasa yang akhirnya membawa kesan kepada
rakyat di bawah.
“Kita mahu Parlimen Tanjong Malim, yang masih menjadi
nyawa kepada MCA, DUN Behrang dan Slim yang masih menjadi milik UMNO BN, mampu
ditawan dan perkara ini memerlukan sokongan padu daripada semua pengundi di
sini”, ulasnya berkenaan harapan AMANAH dalam PRU akan datang bagi DUN dan
Parlimen Tanjong Malim.
Untuk rekod Aminuddin Zulkipli merupakan calon Pakatan
Rakyat dalam PRU ke-13 lalu bagi DUN Slim.
0 comments:
Post a Comment