Wednesday, 27 April 2016

LANGKAH KE DEPAN PAKATAN HARAPAN



KENYATAAN MEDIA
AMANAH TANJUNG MALIM

LANGKAH KE DEPAN PAKATAN HARAPAN

Perkembangan terkini berkaitan pertindihan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 melibatkan parti-parti dari Pakatan Harapan iaitu DAP dan PKR sedikit sebanyak menjejaskan tempo dan momentum para jentera untuk berkempen.

Pertembungan 6 kerusi antara DAP dan PKR begitu memberi kesan meskipun saranan dan desakan di pihak akar umbi agar kemelut itu diselesaikan secara baik tidak dapat dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi sehingga tiba hari penamaan calon.

Natijahnya, pelbagai reaksi, persepsi dan pandangan dilontarkan dalam media dan ini menjejaskan tumpuan PH untuk menyusun strategi menentang Barisan Nasional.

Dalam beberapa kenyataan terbaru daripada pimpinan, jelas menunjukkan harapan supaya rundingan terus dijalankan seperti yang disarankan oleh bekas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim harus diambil bagi memperbaiki keadaan.

Bagi mendepani cabaran yang lebih besar pada PRU ke-14, Amanah Tanjong Malim menyarankan agar rundingan kerusi antara ketiga-tiga parti harus dimulakan lebih awal bagi memberi ruang berunding itu lebih konstruktif dan berjalan dalam keadaan harmoni.

Berdasarkan kepada apa yang telah berlaku, PH perlu menyedari akan kelemahan dalam memberi keyakinan kepada pemimpin akar umbi bahawa keputusan yang dibuat di peringkat tertinggi adalah keputusan yang perlu dipatuhi dan penjelasan terperinci dengan sokongan data dan kajian harus diberi agar semua pihak memahami mengapa sesuatu keputusan itu dibuat.

Selain itu, formula lama yang memperuntukkan satu-satu kerusi kepada sesebuah parti berdasarkan parameter-parameter dan pertimbangan lama dalam pilihan raya –pilihan raya sebelum ini harus dinilai semula supaya keputusan yang dibuat tidak bercanggah dengan realiti sebenar yang kadang-kala berubah daripada keadaan sebelum ini.

Justeru, Amanah Tanjung Malim menggesa Majlis Presiden Pakatan Harapan segera merangka satu standard baru dan membentuk Jawatankuasa Khas yang bertanggungjawab dalam penetapan kerusi-kerusi untuk parti-parti dalam PH untuk PRU ke-14 nanti.

Semoga dengan adanya penegasan dan kesepaduan dalam Majlis Presidan akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk memilih PH bagi menerajui Putrajaya.


Aminuddin Zulkipli
Ketua Amanah Tanjong Malim.

0 comments:

Post a Comment