Thursday, 28 April 2016

LAPORAN PAC BERHUBUNG 1MDB TIDAK MENYELURUH, KATA AHLI MAJLIS PROFESOR

Jho Low antara individu yang dikaitkan
dengan skandal 1MDB
Seorang ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood mengatakan laporan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) masih tidak menyeluruh dan hanya menimbulkan banyak lagi persoalan.

Berbeza dengan kenyataan pemimpin Umno yang menyifatkan skandal 1MDB sudah selesai tidak benar, kata Nik Ahmad Kamal.

“Ia pasti akan bertambah rumit. Isu hutang yang perlu dibayar mendapat perhatian semua. Jadi apa yang disebutkan oleh ramai ahli politik, termasuk ahli PAC, bahawa isu 1MDB telah selesai nampaknya tidak tepat.

“Laporan PAC mengenai pengurusan 1MDB yang dibentangkan sebelum ini pasti dianggap tidak menyeluruh, malah, timbul lebih banyak persoalan lain,” beliau dipetik berkata dalam Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata laporan tersebut masih menimbulkan pelbagai tanda tanya dengan kehilangan berbilion wang negara tetapi tidak ada seorang pun pihak bertanggungjawab.

“Banyak persoalan akan terus timbul, malah mereka yang memberi perhatian terhadap isu ini akan menanti sehingga persoalan mengenai siapa sebenarnya yang bertanggungjawab dalam isu hutang 1MDB, terjawab.

“Saya juga percaya lebih banyak konflik akan timbul selepas ini apabila satu persatu isu lain timbul oleh mereka yang terlibat dengan 1MDB dan perhatian pasti diberikan kerana akhirnya 1MDB adalah tanggungan kerajaan juga,” katanya.

Beliau juga menekankan mengenai Laporan Ketua Audit Negara yang diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) menyebabkan kebenaran berhubung skandal 1MDB masih lagi samar.

Laporan PAC dibentang pada 4 April lalu di Dewan Rakyat selepas melalui pelbagai halangan dan kelewatan.

Bagaimanapun, laporan tersebut menimbulkan lebih banyak persoalan apabila laporan interim Ketua Audit Negara dan laporan terakhirnya bulan lalu mengenai 1MDB tidak dimasukkan dalam laporan jawatankuasa itu.

Pengerusi Jawatankuasa itu, Datuk Hasan Arifin juga dituduh menyunting laporan PAC mengenai syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kelulusan jawatankuasa berkenaan.

- themalaysianmirror


0 comments:

Post a Comment